Tuesday, October 30, 2012

MALAM DI TENGAH KOTA

 
 
malam itu
keluar melihat-lihat sebahagian kecil kawasan-kawasan
yang masih hidup kala malam menginjak ke pagi
 
dataran itu
lorong itu
jalan itu
 
tidak pernah sunyi dari hiruk pikuk kota
kala yang remaja menguji-uji lajunya kuasa rempitan
berlumba-lumba celahan kereta
yang masih tidak henti melalui jalan-jalanraya
 
di sudut-sudut dataran yang gelap
ada sang penyair menyusun kata memujuk sang gadis
asyik memadu kasih
 
di sudut lorong-lorong yang kelam
ada transaksi jual beli dagangan
entahkan barangan entahkan orang
 
di sudut jalan-jalan terang
ada kumpulan-kumpulan pemabuk
berjalan beriringan mahu pulang
 
dalam sibuk menjadi pemerhati
dalam asyik menikmati ragam
pun sebenarnya aku ini punya
hati terlalu sunyi
 
<=::budaqnakal::=>

Monday, October 22, 2012

KITA













dalam ruang waktu yang sempit
jua jangka masa yang tidak selama mana
kau aku harus bersyukur dan berterima kasih kepada takdir
kerana kita bisa bertemu lagi
untuk saling mengerti memahami
sayang dan disayangi

9 bulan itu tempoh yang sangat muda dan mentah
kita boleh saja diibaratkan bayi yang baru belajar-belajar berdiri
belum bisa apa-apa

namun kerana kau aku sentiasa ada satu sama lain
maka kita bukan sahaja bisa bertatih melangkah dan berlari
malah
telah kita redah pelbagai hal dan perkara
dalam hidup yang lamanya tidak seberapa

ya! baru 9 bulan!

p.s. selamat ulang "bulan" ke 9 sayang.... 

<=::budaqnakal::=>

Tuesday, October 16, 2012

Janjiku Ikat di Puncak Kinabalu




perlahan kita hayun lemah langkah kaki
menuju puncak tertinggi Asia Tenggara
 
dalam payah kaki menapak
dalam lebat nafas berpencak
dalam gigil sejuk menggigit tulang temulang
dalam dingin angin menyapu lembut wajah
 
sesekali aku menoleh melihat kamu di belakang
pantaskah kau ku bawa ke puncak sana
bersama kita raikan jaya?
 
Demi Tuhan, wajahmu mencerminkan sengsara
sedikit sahaja lagi aku mahu katakan
"ayuh! kita pulang..."
 
namun kerana telah terpatri janjiku dihati
mahu bersamamu di puncak sana
aku simpan rasa perih dan perlahan mendaki
biar kau menuruti jejakku
 
mungkin kerana janji kita kuat
sang puncak mendengar azam aku-kamu
dan pagi itu
kita meterai janji duduk bersama
berdiri gagah di puncak Kinabalu
 
<=::budaqnakal::=>

Monday, October 01, 2012

Lelumut



lelumut hijau itu
hidup subur di bebatuan keras
dan di pepohon lapuk yang rapuh
diam indah
tidak pernah mengeluh
kala di pandang sepi
 
<=::budaqnakal::=>